Ubat makan untuk Diabetes (Jenis 2)

http://www.nhgp.com.sg/knowyour
medication.aspx

Terdapat banyak jenis ubat untuk mengawal diabetes jenis 2, dan anda mungkin perlu mengambil lebih daripada 1 bagi memastikan keadaan anda terkawal. Anda perlu mengambil ubat seperti yang diarahkan oleh doktor atau ahli farmasi. Jika tidak, ubat yang diambil mungkin tidak memberi kesan, menyebabkan kesan sampingan yang tidak dikehendaki atau mendatangkan keburukan kepada badan anda.

Kumpulan ubat diabetes yang dimakan yang biasa:

  1. Biguanides misalnya Metformin
  2. Sulphonylureas misalnya Gliclazide, Glipizide, Glibenclamide
  3. Perencat a-glukosidasa misalnya Acarbose
  4. Meglitinides misalnya Repaglinide, Nateglinide
  5. Thiazolidinediones misalnya Pioglitazone, Rosiglitazone
  6. Perencat Dipeptidyl peptidase-4 (DPP-4) misalnya Vildagliptin, Sitagliptin

Apakah kesan sampingan ubat yang biasanya diperoleh?

  • Gula darah rendah (Hipoglisemia)
    Jika anda mengambil ubat tetapi tidak mengambilnya tepat pada masa, gula darah anda mungkin menjadi terlalu rendah. Anda mungkin akan mengalami lemah, pening, lapar yang keterlaluan, berpeluh, menggigil, pandangan kabur, atau kadar jantung yang laju. Jika anda mengalami simptom ini, lakukan rawatan untuk hipoglisemia.
  • Ketidakselesaan perut/ rasa kembung atau berangin/ Diarea
    Simptom ini mungkin kadangkala terjadi.
  • Loya atau muntah/Hilang selera makan
    Anda mungkin mengalami simptom ini jika anda mengambil metformin, repaglinide, nateglinide atau rosiglitazone. Ubat ini sepatutnya diambil selepas makan atau dengan makanan bagi mengurangkan simptom ini.
  • Ruam di kulit
    Ruam mungkin berlaku apabila anda mengambil ubat-ubat ini. Jika anda mendapat ruam, beritahu doktor anda dengan segera.

*Dapatkan rawatan perubatan jika ada antara simptom ini teruk atau tidak hilang.

Apakah langkah berjaga-jaga yang perlu saya ambil?

Sebelum mengambil sebarang ubat, beritahu doktor anda jika anda:

  1. Alergi terhadap ubat ini atau sebarang ubat yang lain.
  2. Mengambil ubat yang dipreskripsi dan ubat yang tidak dipreskripsi.
  3. Menghidap masalah jantung, buah pinggang atau hati.
  4. Akan menjalani sebarang bentuk pembedahan.
  5. Sedang mengandung atau merancang untuk mengandung.
  6. Menyusukan bayi.

Apakah yang perlu saya lakukan semasa mengambil ubat?

  • Pelajari nama dan dos ubat anda.
  • Ambil ubat anda secara tetap dan tepat sebagaimana yang dipreskripsi oleh doktor anda.
  • Jangan berhenti mengambil ubat tanpa mendapatkan nasihat doktor anda.

Info Lebih Lanjut

  • Jika anda terlepas satu dos, ambil dos yang tertinggal sebaik sahaja anda teringat. Jika masanya hampir dengan dos yang seterusnya, ambil dos yang sepatutnya. Jangan gandakan dos. 
  • Periksa gula darah anda sebagaimana yang diarahkan oleh doktor anda.
  • Jika anda menemui doktor lain, pastikan untuk memberitahunya bahawa anda sedang mengambil ubat ini.
  • Jika anda mengambil metformin, beritahu doktor anda sebelum menjalani sebarang prosedur imbasan atau x-ray.  
  • Jangan minum alkohol semasa perut kosong kerana ia akan menurunkan gula darah ke paras yang sangat rendah.

Bagaimanakah untuk menyimpan ubat saya?

Anda perlu menyimpan semua ubat di dalam bekas atau bungkusannya yang asal, ditutup rapat atau dipengap. Simpan pil anda di tempat yang sejuk dan kering.

Apa yang Anda Perlu Tahu Tentang Insulin

Kebanyakan insulin yang kini boleh didapati di Malaysia adalah berasal daripada manusia; Insulin daripada babi atau lembu kini jarang digunakan lagi. Oleh sebab insulin dihadam dan dimusnahkan oleh perut, ia tidak boleh diambil dengan memakannya. Pada masa ini, satu-satunya cara untuk mendapat insulin adalah melalui suntikan.

Insulin hanya boleh digunakan apabila ia dipreskripsi oleh doktor dan pentitratan dalam dos harus diawasi. Terdapat beberapa jenis penyediaan insulin: ia berbeza dari segi permulaan dan tempoh tindakan. Insulin yang segera dan cepat bertindak digunakan terutamanya untuk mengawal paras gula darah yang tinggi selepas setiap kali hidangan manakala insulin yang pertengahan dan bertindak dalam jangka panjang sesuai untuk pesakit bagi mengawal kandungan glukosa sepanjang hari dengan lebih lancar.

Jenis Insulin Permulaan Tindakan Tempoh Tindakan
Bertindak segera (misalnya Novorapid®, Humalog®) 15 min 4 jam
Bertindak cepat (misalnya Actrapid®, Humulin R®) ½ – 1 jam 6 – 8 jam
Bertindak sederhana (misalnya Insulatard®, Humulin N®) 2 – 4 jam 16 – 18 jam
Bertindak lama (misalnya Glargine®, Detemir®) 4 – 8 jam 24 jam
Insulin pracampur (misalnya Mixtard 30®, Humulin 30/70®) ½ – 1 jam 16 – 18 jam

Insulin perlu diberikan seperti yang diarahkan oleh jururawat atau ahli farmasi. Penyediaan insulin boleh didapati dalam botol, katrij atau jarum suntik dan jarum suntik pakai buang.

Langkah berjaga-jaga yang paling penting adalah risiko hipoglisemia yang berlaku jika pesakit tidak makan dengan baik, mengambil alkohol semasa perut kosong atau disebabkan oleh beberapa interaksi ubat.

Info Lebih Lanjut

Bagaimana Membuat Suntikan Menggunakan Picagari?

  1. Pilih tempat yang bersih untuk membuat suntikan.
  2. Cubit sebahagian besar kulit di bahagian abdomen dengan ibu jari dan jari telunjuk.
  3. Pegang picagari dengan tangan yang sebelah lagi.
  4. Cucukkan jarum pada sudut 90 darjah ke kulit, semua sekali.
  5. Suntik insulin dengan menolak pelocok ke bawah dengan jari telunjuk dan lepaskan cubitan pada kulit.
  6. Letakkan kapas kesat ke atas tempat suntikan dan tekan ke bawah perlahan-lahan sambil menarik jarum keluar.
  7. Jika sedikit pendarahan berlaku, tekan atas tempat suntikan perlahan-lahan selama beberapa saat.
  8. Jangan gosok kawasan suntikan kerana ini boleh menyebabkan insulin diserap terlalu cepat.
  9. Buang picagari secara selamat.

Bagaimana Menyimpan Bebuli Insulin?

  1. Botol insulin yang belum dibuka harus disimpan di bahagian bawah peti sejuk jauh dari bahagian sejuk beku. Insulin beku tidak boleh digunakan.
  2. Botol insulin yang hendak digunakan boleh disimpan pada suhu bilik atau di tempat yang paling sejuk sehingga 4 minggu.
  3. Jangan simpan insulin di tempat yang panas (misalnya, di dalam kenderaan yang panas dan tertutup, di atas TV) atau terdedah kepada haba atau cahaya matahari. Pendedahan yang lama kepada cahaya matahari akan mengurangkan kualiti insulin dan menyebabkan warnanya bertukar kepada kuning-coklat. Jangan gunakan insulin jika perkara ini berlaku.

Mengurus Ubat Anda

(diubahsuai dari American Diabetes Association Toolkit No. 27, www.diabetes.org.)

Apabila anda mengambil beberapa ubat, memang sukar untuk menguruskannya. Tetapi anda akan berasa lebih baik jika anda mengambil langkah-langkah untuk mengurus ubat-ubat anda. Tips untuk membantu anda kekal sihat:

  • Ketahui semua perkara asas tentang ubat anda, seperti kegunaannya dan bila untuk mengambilnya.
  • Ambil ubat anda seperti yang disyorkan.
  • Beritahu pengamal perubatan kesihatan anda tentang ubat (preskripsi dan bukan preskripsi) dan makanan tambahan (seperti vitamin, mineral, herba, dan bahan-bahan lain) yang anda ambil.

Ambil ubat anda seperti yang disyorkan

Jika anda tidak mengambil ubat seperti yang ditetapkan, kesan ke atas kesihatan anda tidak boleh diramal–atau mungkin berbahaya. Jika anda tidak mengambil ubat anda, fikirkan tentang sebab-sebabnya. Beritahu pengamal perubatan kesihatan anda.

  • Adakah terdapat kesan sampingan yang tidak menyenangkan?
  • Adakah ubat terlalu mahal?
  • Adakah sukar untuk mengingat masa untuk mengambilnya?

Petua untuk membantu anda mengingat masa mengambil ubat

  • Cuba gunakan penyusun pil yang mempunyai ruang untuk setiap hari dalam seminggu.
  • Kaitkan pengambilan pil dengan sesuatu dalam rutin harian anda. Sebagai contoh, mengambil ubat pagi anda selepas anda memberus gigi anda.
  • Gunakan carta untuk memeriksa masa anda perlu mengambil ubat.

Memberitahu pengamal perubatan kesihatan anda tentang ubat anda

  • Beberapa kombinasi ubat dan makanan tambahan boleh memudaratkan. Setiap satu daripada pengamal perubatan kesihatan anda harus mengetahui semua ubat yang anda ambil, termasuk ubat bukan preskripsi. Gunakan carta “Ubat Saya” untuk menyenaraikan semua ubat anda. Bawa salinan carta apabila anda bertemu dengan pengamal perubatan kesihatan anda. Anda juga boleh memberi satu salinan kepada rakan atau anggota keluarga.
  • Hubungi pengamal perubatan kesihatan anda jika anda sakit dan ubat anda perlu diselaraskan.

Leave a Reply